Mengikut lagenda, sungai di kampung ini ialah tempat persinggahan (Pengkalan) perahu-perahu layar pedagang untuk menjual dagangan termasuk garam, gambir, kain beberapa barangan lain. Kebanyakan mereka dari Thailand. Perahu-perahu layar mereka dikenali dengan panggilan “JONG”
Entah bagaimana pada suatu hari, sebuah JONG mereka yang sarat dengan barang dagangan karam dipukul ribut.
Semuanya tenggelam termasuk barang dagangan tidak dapat diselamatkan hanya nampak tiang layar (tempat itu merupakan dasar sungai yang paling dalam dipanggil lubuk). Berita tenggelamnya Jong itu telah tersebar luas. Selepas peristiwa jong tenggelam itu, kampung ini dikenali dengan nama “Kampung Lubuk Jong”
Nama Lubuk Jong ini, makin lama semakin hilang dari ingatan penduduk di sini sebagaimana hilangnya tiang layar yang terbenam di sungai. Proses hakisan dan pereputan menghilangkan terus layar jung dari pandangan mata begitu juga nama kampung Lubuk Jong hilang dari sebutan orang ramai.
Pengkalan tempat persinggahan perahu-perahu dagang terus maju dan makin lama makin maju. Bukan sahaja mereka berjual-beli, malahan ada diantara mereka singgah ke darat untuk memasak nasi bagi kegunaan harian.
Pada suatu hari berlaku satu peristiwa dimana salah seorang daripada satu keluarga menyuruh anaknya memasak nasi. Anaknya bertanya berapa banyak nasi hendak dimasak.
“Se leng ke Mak?” (satu leng sukatan lama sama dengan ½ cupak) , jawab maknya “Hor” (ya) anaknya inginkan kepastian lalu diulang-ulang beberapa kali.
Peristiwa itu telah didengar oleh beberapa orang di sekitar yang kemudiannya menjadi buah mulut oleh orang ramai sebagai suatu jenaka kampung dan terus tersebar sehingga kampung ini dikenali sebagai kampung “Selehor “ iaitu hasil gabungan antara perkataan seleng + hor.
Dengan kemunculan Hj. Abdul Rahman bin Hj. Othman seorang ulama yang zahid, mutabbar dan waro’ maka Kampung Selehor ini tersohor bukan sahaja di Kelantan, seluruh negeri-negeri di Malaysia, malahan di negara Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Disebabkan terkenalnya Kampung Selehor ini, menjadikan Haji Abdul Rahman dikenali sebagai Tok Selehor. Nama Hj. Abdul Rahman lebih sinonim dengan nama Tok Selehor.
Setelah meninggalnya Tok Selehor pada tahun 1935 maka kampung Selehor pun makin lama makin hilang dari ingatan hinggakan generasi ketiga kini tidak lagi mengenali kampung Selehor.
No comments:
Post a Comment